Teori Pendidikan

MEKANIS VS MENTALIS

TEORI MEKANIS (BEHAVIORIS)

Teori mekanis atau teori behavioris mengatakan bahasa ialah proses perilaku dan mementingkan satu rangkaian turutan sebab dan kesan. Teori ini menganggap bahasa sebagai hasil operasi rangsangan dan gerak balas yang semata-mata bergantung pada ciri-ciri naluriah yang ada pada manusia. Faktor persekitaran dianggap sebagai rangsangan dan hasil rangsangan itu ialah gerak balas. Teori ini menolak pendapat yang menghubungkan proses penghasilan bahasa dan operasi mental.

Teori ini menekankan bahawa bahasa ialah perilaku, dan individu banyak melalui pengalaman daripada melalui otaknya. Ia tidak mementingkan fungsi mental dan apa yang perlu dikaji ialah data-data, iaitu kalimat-kalimat yang dapat diamati dan diukur. Bahasa dalam bentuk kalimat-kalimat sebagai perangai yang secara langsung dapat diamati dan diselidiki. Teori ini juga mementingkan penekanan kepada bentuk-bentuk linguistik. Segala penghasilan bunyi atau sebutan sesuatu kata harus dapat dilakukan secara tepat terutama daripada aspek fonologi, struktur, intonasi, dan lain-lain penguasaan sistem bunyi.

Untuk memperoleh kemahiran bahasa, latihan dan latih-tubi perlu dijalankan secara kerap kerana kemahiran bahasa dipandang sebagai satu kebiasaan. Oleh itu, pelajar perlu diberi peluang berlatih berulang kali untuk membentuk satu tabiat dalam diri mereka. Ini bermakna bahasa dikuasai melalui proses pengulangan kerana teori ini beranggapan bahawa penguasaan bahasa ialah satu proses mekanis yang tiada bersangkutan dengan pemikiran atau daya mental. Teori ini berasaskan cara pemerolehan bahasa pertama kanak-kanak. Kanak-kanak belajar bahasa secara tidak formal melalui proses peniruan daripada ibu bapa atau ahli keluarga mereka. Mereka menguasai bunyi-bunyi dan menyebut perkataan-perkataan yang telah mereka dengar berulang kali sehingga mereka dapat mengujarkan ayat-ayat yang lengkap.

Alan Healey (1975 : 285), memberikan pendapat bahawa latihan pengulangan secara mekanis ini adalah sangat penting untuk pengurusan bahasa dan akan menarik minta pelajar sekiranya seseorang guru merancang pelajarannya dengan teliti. Beliau berpendapat:

“Language learning involves acquiring a set of automatic habits. In language learning, the drills are the scales and the gear-changing exercises. Each feature must be mastered thoroughly before any real victory is possible. Effort is involved but it need not be drudgery. If drills are sensibly planned they can be made both interesting and good fun.”

Teori ini juga beranggapan bahawa bahasa adalah satu tingkah laku manusia yang lahir sebagai gerak balas terhadap sesuatu rangsangan. Kemahiran berbahasa diperoleh sama seperti kita menguasai kemahiran-kemahiran mekanis yang lain, iaitu melalui latihan dan pengulangan. Manusia akan bertindak terhadap sesuatu sekiranya terdapat rangsangan dari dalam diri atau persekitarannya, sama seperti tingkah laku bahasa yang wujud apabila seseorang terangsang untuk mengucapkan sesuatu dan ucapan itu kemudiannya mendapat gerak balas daripada pendengar atau penerima, dan begitu juga sebaliknya.

Teori ini amat mementingkan aspek lisan seperti percakapan atau pertuturan kerana bagi mereka bahasa ialah alat untuk berkomunikasi. Skinner menerusi teori behaviorisme berpendapat bahawa bahasa hanya dapat dikuasai hasil daripada operasi rangsangan dan tindak balas yang merupakan proses naluriah semata-mata, dan bukan proses mental atau kognitif. Ini bermakna beliau lebih mengutamakan rangsangan dan tindak balas serta mengetepikan fungsi mental atau otak kerana menurutnya hubungan mental tidak dapat diamati. Oleh itu, pembelajaran bahasa merupakan penguasaan satu biasaan yang diperoleh dengan mengulang-ulang melakukan aktiviti yang hendak dikuasai itu.

Bloomfield pula berpendapat bahawa bahasa ialah satu tingkah laku manusia yang sama dengan tingkah laku manusia yang lain. Sekiranya tingkah laku manusia yang lain itu berpunca daripada adanya rangsangan, bahasa dapat dilahirkan sebagai gerak balas terhadap rangsangan itu. Oleh itu, beliau berpendapat yang harus dikaji ialah tingkah laku itu diterima serta difahami oleh pendengar, dan demikian juga sebaliknya. Menurutnya, bahasa ialah sejumlah isyarat atau tanda yang berupa unsur-unsur bunyi yang dinamakan bentuk linguistik. Makna sebagai pancaran fikiran dan perasaan manusia tidak penting kerana mereka menganggap bahawa bahasa adalah semata-mata sistem bentuk, bukan sebagai himpunan makna yang menjadi simbol pemikiran (Raminah Hj. Sabran dan Rahim Syam, 1985 : 18).

Golongan behavioris berpendapat bahawa pengukuhan dalam pengajaran dan pembelajaran sangat penting. Pengukuhan ini dapat dilakukan dengan memberi ganjaran kepada seseorang pelajar apabila mereka memberikan gerak balas yang betul, seperti pujian, keistimewaan, pengiktirafan, maklum balik atau sebagainya, ia dapat membentuk tin dak balas yang dikehendaki. Ganjaran bukan sahaja bertujuan untuk menggalakkan pelajar memberikan gerak balas yang betul tetapi juga penting untuk mewujudkan pengulangan. Apabila pengulangan dapat diwujudkan, proses pembelajaran akan berlaku.

Golongan behavioris cenderung pada huraian bahasa secara deskriptif atau struktural. Huraian bahasa secara struktural ini dipelopori oleh Leonard Bloomfield yang terkenal dengan bukunya Language (1933), yang dianggap buku yang paling baik dalam menghuraikan ilmu linguistik pada zamannya. Aliran ini mengkaji bahasa secara saintifik dan empirikal, iaitu dengan mengkaji bahasa lisan yang merujuk ucapan yang dikeluarkan oleh penutur asli. Oleh itu, apa yang penting untuk dihuraikan adalah apa yang dituturkan, bukan apa yang dituliskan. Ia menghindari faktor-faktor yang berkaitan dengan psikologi, tidak mementingkan makna dalam analisis bahasa dan tidak berpegang kepada peraturan-peraturan bahasa yang bersifat normatif.



TEORI MENTALIS (KOGNITIF)

Teori Pembelajaran ini dipelopori oleh mazhab kognitif atau mentalis yang amat berbeza dengan teori pembelajaran behavioris. Pendukung teori ini terdiri daripada Wolfgang Kohler (1887-1967), Kurt Kaffka (1886-1941), George A. Miller (1909) Jean Piaget, David Ausubel, Jerome S. Bruner, dan E. H. Lenneberg, yang kesemua mereka merupakan ahli-ahli psikologi kognitif. Istilah kognitif ini mula diperkatakan oleh Jean Piaget pada awal tahun 1960-an dengan teori-teori psikologi perkembangannya. Teori yang ditulis dan dibicarakannya itu telah meluaskan lagi dunia pengetahuan kepada satu penemuan tentang proses perkembangan kognitif yang dianggap bersifat universal.

Tidak seperti teori pembelajaran behavioris yang menolak fungsi otak, teori ini menekankan peranan otak atau fikiran dalam proses pembelajaran. Ahli-ahli teori ini menekankan bahawa kanak-kanak sejak dilahirkan telah dibekalkan dengan satu alat dalam otak mereka yang membolehkan mereka memahami bahasa yang didengarnya dengan mudah. Oleh itu, teori ini memandang pembelajaran sebagai satu proses pemikiran dan bukan sekadar satu pembentukan kebiasaan yang mementingkan latihan dan ulangan. Segala perubahan tingkah laku atau disebut sebagai pembelajaran itu ialah hasil daripada proses kognitif yang berlaku dalam diri manusia itu sendiri. Istilah kognitif itu sendiri mempunyai kaitan rapat dengan konsep pemikiran yang melibatkan aspek-aspek struktur intelek yang digunakan untuk memahami sesuatu.

Proses berfikir manusia bermula dari dalam diri manusia itu sendiri yang kemudiannya digambarkan melalui perubahan tindakan biologis sebagai proses luaran. Aktiviti-aktiviti intelektual atau kognitif dan biologis merupakan satu proses keseluruhan yang dilakukan oleh manusia untuk mengadaptasikan dirinya dengan persekitaran. Menurut teori ini, proses berfikir manusia melibatkan operasi mental dengan tujuan untuk menghubungkan berbagai-bagai idea, memahami konsep, membuat kesimpulan atau mendapatkan pengertian baru daripada maklumat yang sedia ada. Bagi mereka, pembelajaran menjadi bererti jika perspektif kognitif tau keupayaan berfikir tersebut turut dilibatkan, dan tidak hanya tertumpu pada operasi mekanikal sahaja. Walaupun mereka tidak, menolak seratus peratus pembelajaran melalui proses cuba jaya, tetapi mereka beranggapan bahawa hal tersebut berlaku secara sedar.

Sebagai pendukung utama teori ini, Jean Piaget berpendapat bahawa perkembangan kognitif berlaku secara berperingkat-peringkat. Beliau telah mengemukakan empat peringkat perkembangan kognitif, dan peringkat olahan formal. Peringkat perkembangan kognitif ini bermula sejak zaman permulaan kanak-kanak lagi atau sejak bayi dilahirkan. Ia berlaku agak cepat pada zaman permulaan kanak-kanak. Perkembangannya menjadi semakin perlahan pada peringkat remaja dan dewasa.

Menurut Piaget, semua kanak-kanak yang normal mesti melalui zaman ini secara berperingkat-peringkat menurut susunan tertentu. Namun demikian, terdapat perbezaan antara kanak-kanak yang cerdas dengan kanak-kanak yang lembap otaknya dalam mencapai zaman operasi formal. Ini kerana terdapatnya empat faktor yang membantu atau membantut perkembangan kognitif individu, iaitu pematangan, pengalaman, interaksi sosial, dan perimbangan antara ketiga-tiga faktor tersebut.

Peringkat deria motor kanak-kanak bermula sejak lahir hingga berumur dua tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak belum mampu menggunakan otaknya. Mereka belum menguasai lambang bahasa untuk memberi norma atau nilai kepada benda-bena. Kanak-kanak menggunakan deria motornya untuk berinteraksi dan mengetahui alam sekelilingnya. Pada peringkat akhir deria motor, kanak-kanak sudah mempunyai sedikit sebanyak keupayaan untuk berbahasa, dan mereka sentiasa berinteraksi dengan persekitarannya. Melalui interaksi tersebut, mereka menjadi lebih bebas dan lebih berupaya untuk mempertingkat keupayaan berbahasa mereka.

Peringkat olahan bermula pada umur dua hingga enam tahun. Pada peringkat ini, mereka sudah boleh menguasai bahasa dan konsep dengan cepat. Mereka menggunakan bahasa untuk pernyataan diri dan berinteraksi dengan persekitarannya. Apabila mencapai umur empat tahun, mereka sudah boleh bertutur dengan fasih. Dengan kebolehan berbahasa ini, mereka tidak lagi menggunakan deria motor semata-mata, malahan pengalaman barunya dilambangkan melalui bahasa. Pada peringkat ini, mereka bukan sahaja menggunakan bahasa untuk bercakap sendirian, tetapi juga untuk berbincang, bercerita, dan berkomunikasi dengan orang lian di persekitarannya.

Peringkat olahan konkrit bermula pada umur enam hingga 12 tahun. Pada peringkat ini, kanak-kanak sudah boleh menggunakan pemikiran logik, menguasai konsep pengekalan, mengelaskan benda-benda mengikut saiz atau warna, dan memahami konsep pembalikan. Perkembangan mental dan penguasaan perbendaharaan kata mereka semakin bertambah. Mereka mula membaca, menulis, dan mengira serta sangat suka bercakap atau bertutur. Mereka mula menggunakan bahasa secara aktif untuk berkomunikasi dalam bentuk koperatif. Perkembangan kognitif mereka sudah agak maju tetapi mereka masih memerlukan objek-objek dan peristiwa-peristiwa konkrit dalam menyelesaikan masalah. Mereka sudah dapat menerima pendapat orang lain melalui penggunaan bahasa yang lebih luas.

Peringkat terakhir dalam perkembangan kognitif kanak-kanak ialah peringkat olahan formal yang bermula pada umur 12 tahun ke atas. Pada peringkat ini, perkembangan kognitif kanak-kanak mula-mula mencapai kemuncaknya. Mereka dapat memahami banyak perkara dan menyelesaikan masalah secara logik dan abstrak. Mereka juga dapat menyelesaikan masalah-masalah verbal yang kompleks dan mengkaji perasaan dan pemikiran.

*** Rujukan Lanjut : Kamarudin, Siti Hajar Hj. Abdul Aziz dan Arba’ie, 1997