Ahad, 13 Mac 2011

Pendekatan Pengajaran

BEBERAPA PENDEKATAN DAN KAEDAH PENGAJARAN BAHASA

Abdullah Hassan (1986) mengemukakan definisi pendekatan dan kaedah dalam pengajaran bahasa yang berbeza. Beliau maksudkan 'pendekatan' sebagai sesuatu sikap terhadap pengajaran dan pembelajaran. Dalam pengajaran bahasa, istilah ini merupakan satu kumpulan prinsip atau andaian yang berkaitan dengan bahasa, pengajaran bahasa dan pembelajaran bahasa tersebut. Pendekatan yang berlandaskan teori bahasa, teori pengajaran bahasa dan teori pembelajaran bahasa juga menyentuh cara bahasa itu diperolehi, bagaimana bahasa itu terlahir dan difahami serta perkara-perkara yang mengawal bahasa tersebut.

Kaedah pula Abdullah Hassan maksudkan sebagai langkah-langkah atau peringkat-peringkat yang diatur untuk mengajar sesuatu bahasa atau bahagian-bahagiannya, sesuai dengan pendekatan yang dipegangnya.
Daripada dua definisi ini nyatalah bahawa pendekatan dalam proses pengajaran sesuatu bahasa dapat dijadikan pegangan untuk mengatur kaedah pengajaran. Sementara pendekatan dan kaedah pula diperkukuh dengan teknik pengajaran atau muslihat penyampaian butiran-butiran pengajaran yang dapat mengarah kepada matlamat yang hendak dicapai oleh seseorang guru.

Guru kerap membuat pertanyaan apakah pendekatan yang sesuai bagi menyampaikan sesuatu aspek bahasa kepadamurid-muridnya. Manakah yang lebih berkesan menyampaikan rumusan-rumusan atau peraturan-peraturan bahasa lebih dahulu lalu diperkukuh dengan butiran-butiran contoh yang dikemukakan kemudian atau murid-murid dibimbing untuk membentuk rumusan sesuatu aspek bahasa hasil daripada perbincangan dan pemerhatian.

Terdapat tiga pendekatan dalam proses pengajaran bahasa iaitu:

1.         PENDEKATAN DEDUKTIF

Pendekatan yang mengemukakan pengajaran rumusan bahasa sebelum mencapai penggunaan bahasa yakni pelajar-pelajar diperkenalkan terlebih dahulu akan sejenis rumusan tatabahasa dengan jelas lalu diberikan contoh-contoh yang sesuai. Pelajar- pelajar kemudiannya meniru contoh-contoh tersebut dan menghafaznya.
2.         PENDEKATAN INDUKTIF

Pendekatan ini dimaksudkan dengan guru menyampaikan beberapa struktur penggunaan sesuatu aspek tatabahasa yang hendak diajarkannya. Kemudian para pelajar mengemukakan contoh-contoh lain yang serupa dengan struktur yang disampaikan oleh guru sebagai latihan lanjutan. Setelah itu para pelajar dibimbing untuk membuat pemerhatian kepada pembinaan struktur tersebut dan kemudiannya membentuk generalisasi
atau rumusan sendiri.

3.         PENDEKATAN ELEKTIK

Pendekatan elektik ini merupakan gabung jalin antara pendekatan deduktif dan pendekatan induktif bagi menghasilkan satu strategi pengajaran yang lebih berkesan. Mengikut Abdullah Hassan (1986), strategi pengajaran yang berpandukan pendekatan elektik ini dimulai dengan guru memberikan contoh-contoh mengenai sesuatu unsur bahasa dan meminta para pelajar memberikan contoh-contoh yang serupa. Selepas itu, pelajar dibimbing untuk membuat pernyataan mengenai rumusan tatabahasa yang terlibat dan kemudian pelajar-pelajar mengemukakan lagi contoh-contoh lain. Sebaliknya guru boleh pula memulakan pengajarannya dengan memberikan rumusan tatabahasa yang berkenaan kemudian pelajar diminta memberikan penjelasan mengenai rumusan tersebut dengan.mengemukakan contoh-contoh yang konkrit.

Jika kita teliti, pendekatan deduktif dan pendekatan induktif mempunyai matlamat yang serupa. Namun demikian, kaedah-kaedah yang mendukung pendekatan pengajaran ini menyebabkan lakuan yang berbeza terhadap pelajar. Pendekatan induktif yang lebih mengarah kepada aliran behaviourisme atau teori mekanis ini berpegang kepada rasa yakin bahawa penguasaan bahasa seseorang itu boleh tercapai dengan adanya latihan-latihan yang berulangan sehingga membentuk kebiasaan atau tabiat. Sedangkan pendekatan deduktif pula banyak terbentuk hasil gerak balas mental atau fikiran untuk merumuskan sesuatu aspek
pengajaran tatabahasa.
Apa sahaja pendekatan yang hendak kita terapi dalam pengajaran, penyesuaian kaedah pengajaran yang disusun serapi mungkin boleh mencapai matlamat yang menjadi sasaran kita. Terdapat beberapa kaedah pengajaran bahasa yang dikemukakan oleh para penyelidik pendidikan hasil daripada pemerhatian terhadap beberapa teori pemerolehan bahasa. Antaranya ialah :

4.         KAEDAH NAHU TERJEMAHAN

Kaedah ini menitikberatkan pelajar-pelajar menghafaz rumus-rumus tatabahasa dan ayat-ayat yang dikemukakan oleh pelajar mengarah kepada pol a atau struktur yang terdapat dalam rumusan tatabahasa berkenaan. Perbendaharaan kata diberikan di pangkal pengajaran menerusi terjemahan dan tumpuan pengajaran kerap mengarah kepada kesalahan umum dalam penggunaan bahasa. Kaedah ini lebih cenderung menghurai bahasa tulisan dan mengetepikan langsung bahasa pertuturan atau kemahiran-kemahiran komunikasi kerana terlalu banyak tekanan pengajaran diarahkan kepada pengetahuan peraturan bahasa dan
kekecualian-kekecualiannya.
5.         KAEDAH TERUS

Kalaulah kaedah pengajaran Nahu Terjemahan membuat penumpuan kepada kemahiran berbahasa secara pasif, Kaedah Terus yang dikemukakan oleh Berlitz menekankan penggunaan struktur dan perbendaharaan kata bahasa seharian dalam situasi yang aktif. Komunikasi di dalam kelas terbentuk melalui
interaksi antara guru dengan murid. Bahasa sasaran terus atau langsung diajar tanpa menggunakan terjemahan- terjemahan daripada bahasa ibunda. Bahan-bahan pengajaran disusun mengikut rumus-rumus nahu dan disampaikan secara latih tubi bagi membiasakan pelajar dengan pola-pola atau struktur ayat yang dipelajarinya. Kemahiran berbahasa akan terbentuk
melalui latihan yang berulang-ulang melalui pertuturan.

6.         KAEDAH AUDIO-LINGUAL (DENGAR SEBUT)

Kaedah ini berorientasikan kemahiran mendengar dan bertutur, walaupun kemahiran membaca dan menulis tidak ketinggalan. Kaedah ini juga menekankan program pembelajaran bahasa untuk perhubungan atau komunikasi. Ada empat ciri kaedah dengar-sebut ini seperti mana yang diketengahkan oleh Mohd Yasin
Abdul Majid (1980), iaitu;
• Biasanya setiap perkara yang hendak dipelajari disampaikan dalam bentuk lisan, sebelum perkara tersebut wujud dalam bentuk tulisan,

• Kaedah pembelajaran bergantung kepada kebolehan menganalisis perbezaan di antara bahasa penutur dengan bahasa yang dipelajari secara saintifik,

• Penekanan harus diberikan dalam latih tubi mengenai bentuk bahasa itu dinamakan Pattern Practice (latihan pola), dan

• Memerlukan keadaan yang nyata di dalam perhubungan di antara individu dengan individu yang lain.

Selain daripada ciri-ciri tersebut, kaedah dengar sebut ini mengutamakan dialog sebagai alat yang ampuh menerangkan sesuatu bahasa dan penekanan yang berulang-ulang untuk melahirkan suatu tabiat.
Kaedah ini tidak memberikan tumpuan kepada pengajaran ilmu tatabahasa dan menolak pendekatan kaedah Nahu Terjemahan yang berbentuk intelektual yang cuba menghuraikan permasalahan bahasa.
Proses pembelajaran dilihat sebagai satu tabiat dan pelaziman tanpa melibatkan analisis yang bersifat intelektual atau menggerakkan daya fikir dan kreatif. Latihan-Iatihan berbentuk mudah dan aktif supaya pembelajaran tidak dianggap sebagai satu beban pemikiran. Kaedah ini juga menerapkan penggunaan peralatan mengajar seperti benda-benda maujud, gambar dan makmal bahasa. Penekanannya disampaikan secara berulang-ulang untuk membiasakan penggunaan bahasa seperti menerusi teknik latih tubi yang membolehkan para pelajar membuat gerak balas hasil daripada rangsangan guru.

6.         KAEDAH KOD KOGNITIF 

Perbezaan yang jelas antara kaedah dengar sebut dengan kaedah kognitif ini ialah penggunaan pemikiran dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Kaedah ini lebih bersifat analisis sedangkan kaedah dengar sebut pula digerakkan secara analogi. Dengan analisis, pelajar menggunakan fikirannya untuk memahami sesuatu rumus tatabahasa.
Azman Wan Chik (1968) menerapkan beberapa ciri kaedah kognitif ini, iaitu; 

• Menguasai dengan secara sedar pola-pola fonologi, sintaksis dan leksikal sesuatu bahasa,

• Pembelajaran dengan menganalisis pola-pola, dan

• Menekankan pemahaman para pelajar akan struktur sesuatu bahasa daripada kesenangan menggunakan struktur tersebut.

Para pengkaji pendidikan menyifatkan kaedah ini merupakan lanjutan atau penyesuaian daripada kaedah Nahu terjemahan. Dalam bentuknya yang baru, kaedah ini memberatkan soal penguasaan bahasa secara sedar, iaitu bahasa sebagai satu sistem yang bermakna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan