Ahad, 13 Mac 2011

Teori Pembelajaran Bahasa

SEBAHAGIAN DARIPADA TEORI PEMBELAJARAN BAHASA

Dalam kajian linguistik terdapat banyak teori pemerolehan bahasa, tetapi secara keseluruhannya, teori-teori tersebut boleh digolongkan kepada dua golongan besar iaitu Teori Mekanis dan Teori Mentalis. Noam Chomsky meletakkan teori Mekanis sebagai Teori Empirisis dan Teori Mentalis yang digerakkannya sendiri sebagai Teori rasionalis. Sementara W.M. Rivers pula menyebut Teori Mekanis sebagai Teori Aktivis dan Teori mentalis pula sebagai teori Formalis. Dan aliran yang terbentuk daripada kedua-dua teori ini disebut pula sebagai Aliran Behaviourisme dan Aliran Mentalisme.


1. Teori Mekanis

Teori Mekanis (empirisis / aktivis) menekankan bahawa pemerolehan bahasa terjadi melalui sesuatu lakuan dan penguasaannya adalah hasil operasi stimulus (rangsangan) dan respons (gerak balas) yang merupakan proses naluri semata-mata, bukan proses mental atau kognitif. Teori mekanis ini didasarkan kepada dapatan-dapatan hasil daripada percubaan-percubaan ke atas haiwan, sekadar contoh Skinner menggunakan tikus dan Pavlov pula menggunakan anjing. Hasil daripada percubaan-percubaan ini, haiwan-haiwan tersebut membuat gerak balas apabila adanya rangsangan yang diulang-ulangi sehingga lakuan tersebut menjadi satu tabiat.
Begitu juga dengan pengukuhan bahasa seseorang. Pengukuhan hanya boleh berlaku apabila seseorang mengulang-ulangi lakuan berdasarkan kepada rangsangan-rangsangan sehingga membentuk satu kebiasaan pula. Teori ini juga mengetepikan fungsi otak atau mental seseorang bagi mengukuhkan butiran-butiran bahasa yang diterimanya atau mengulang-ulang melakukan aktiviti yang boleh membentuk satu tabiat atau kebiasaan.
Bloomfield (1942) yang berpegang teguh kepada teori ini berpendapat bahawa penguasaan bahasa bukanlah semata-mata merupakan ilmu pengetahuan. Bahasa dikuasai melalui latihan dan ia mesti dipelajari lebih daripada biasa.

Mengikut Azman Wan Chik (1982), proses pembelajaran bahasa adalah merupakan satu proses mekanikal (dibandingkan dengan proses mental). Jadi penguasaan bahasa bolehlah disamakan dengan proses-proses pembentukan tabiat yang lain seperti belajar memandu kereta dan berenang yang jika diulang kali berjaya dilakukan dengan memuaskan, akan dapat diulangkan seterusnya dengan cara yang automatis.
Hasil daripada teori ini, terbit beberapa kaedah pengajaran bahasa yang disebut Kaedah Terus, Kaedah Audio-lingual (Kaedah Dengar Sebut) dan sebagainya.

2.  Teori Mentalis

Teori Mentalis ini pula amat bertentangan dengan teori mekanis. Teori Mekanis yang banyak menggunakan percubaan ke atas haiwan dan menerapkan bahawa pembelajaran dan pengukuhan bahasa boleh berjaya jika adanya rangsangan dan gerak balas telah disangkal oleh golongan mentalis ini dengan mengatakan bahawa manusia sebagai “makhluk yang berfikir” dan berbeza dengan makhluk haiwan. Pembelajaran dan pengukuhan bahasa didapati secara sedar atau dengan kata lain berhubung kait dengan daya fikir seseorang.

Menurut Noam Chomsky (1959) proses pembelajaran bahasa peringkat permulaan diperolehi tidak semata-mata bergantung kepada operasi rangsang dan gerak balas sahaja. Proses Kognitif sudah pasti turut serta. Tanpa peranan kognitif, perkembangan bahasa terbatas pada yang dapat dialami sahaja, pada hal semua komponen bahasa berkembang secara kreatif atau melangkau batasan pengalaman naluriah iaitu rangsangan dan gerak balas. Perkembangan bahasa secara kreatif adalah hasil turut sertanya peranan operasi mental atau kognitif.

Seperti yang kita maklum bahawa bahasa adalah tindakan kreatif yang hanya ada pada manusia. Kreativiti manusia menggunakan bahasa hanya dapat difahami dengan menerima hakikat bahawa bahasa adalah satu sistem yang teratur sebagai sebahagian daripada proses kognitif manusia. Dalam hal inilah, sebarang teori yang digerakkan dengan rangsangan dan gerak balas mampu menghurai kreativiti dan kelenturan orang menggunakan bahasa.
Diller (1971) yang membincangkan teori mentalis ini membuat empat andaian berikut:
• Bahasa yang hidup itu bersifat satu tingkah laku yang ditetapkan dengan peraturan-peraturan,

• Bahasa digunakan untuk berfikir;

• Peraturan-peraturan tatabahasa itu nyata darisegi psikologi; dan
• manusia adalah unik dengan keupayaannya berbahasa.

Seperkara lagi tentang teori mentalis ini ialah seseorang kanak-kanak telah dilahirkan dengan innate capacity (kebolehan semula jadi) yang membentuk keupayaan berbahasa dan proses penguasaannya bergantung kepada kematangan.
Hasil daripada teori ini timbul beberapa kaedah pengajaran bahasa seperti kaedah kognitif, dan sebagainya. Mangantar Simandjuntak (1987) menyatakan bahawa teori ini juga mengakui adanya pembelajaran melalui ‘trial and error’ (cuba ulang) tetapi dijalankan dengan penuh kesedaran.
Samsu Yaacob dan Marzhuki Nyak Abdullah (1988) membandingkan kedua-dua teori ini dengan mengatakan bahawa teori mekanis mempunyai alasan yang lebih kukuh daripada hujah-hujah yang dikemukakan oleh golongan mentalis, yang lebih mementingkan innate capacity tetapi tidak dapat dibuktikan secara terperinci.
Golongan mekanis menganggap bahawa otak adalah sebagai kotak gelap dan manusia belajar menerusi perilaku serta memperoleh bahasa kerana adanya pengaruh persekitaran. Sedangkan golongan mentalis pula menganggap bahawa pembelajaran bahasa yang mengetepikan fungsi otak atau
fikiran adalah teori yang tidak bermakna.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan